PENCURIAN - Bukan Mudah nak jatuh hukuman potong tangan ke atas pencuri. Kepada yang takut hudud sibuk beri alasan "nanti ramai la orang takde tangan", "potong tangan adalah zalim", bace ni boh.
PENGERTIAN PENCURIAN
Pencurian adalah mengambil barang kepunyaan orang lain dengan sengaja dan secara senyap-senyap dari tempat simpanannya yang wajar. Ciri-ciri pencurian itu ialah:
1. Mengambil barang kepunyaan orang lain.
Pencurian yang tidak termasuk dalam jenis pencurian yang dikenakan hukuman potong tangan ialah mengambil barang dari Baitulmal, mengambil barang kepunyaan syarikat di mana ia menjadi ahli, suami mencuri barang isteri dan sebaliknya, dan orang tua yang mencuri kepunyaan anaknya.
2. Secara senyap-senyap.
Mengambil barang orang lain secara terang-terangan (merampas) tidak dinamakan pencurian yang dikenakan hukuman hudud.
3. Barang diambil dari tempat simpanan yang wajar.
Mengambil barang kemas di luar rumah, ambil padi di sawah, ambil haiwan di ladang walaupun dinamakan pencurian , tetapi tidak dikenakan hukuman potong tangan.
4. Dengan sengaja.
Mengambil barang orang kerana tersalah ambil, kerana terlupa, dipaksa, atau terpaksa kerana lapar tidak dikenakan hukuman potong tangan.
“Umatku tidak dipertanggungjwabkan kerana tersalah, terlupa dan orang-orang yang dipaksakan.”
(Hadith riwayat Ibn Majah, Ibn Hibban, Ath-Thabarani, dan Al-Haakim)
SYARAT-SYARAT PENCURIAN
Pencurian yang berakibat hukum barulah wujud apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
Pencuri:
-Mukallaf: dewasa dan berfikiran waras. Tidak ditetapkan pencuri mesti beragama Islam. Orang bukan Islam yang mencuri juga dikenakan hukuman potong tangan.
-Perbuatan mencuri dilakukan dengan sengaja.
-Pencuri tiada subhat (hubungan langsung) dengan barang-barang yang dicuri. Seperti bapa mencuri barang anaknya, atau ahli syarikat mencuri harta syarikat, mereka tidak dikenakan hukuman hudud.
Barang-barang yang dicuri:
-Barang yang dicuri adalah halal dari segi hukum.
-Barang-barang yang dicuri berada dalam tempat simpanannya yang layak.
Barang-barang yang dicuri cukup nisabnya:
Menurut pendapat jumhur ulama’, nisab barang-barang yang dicuri ialah bernilai ¼ dinar emas atau tiga dirham perak (9.36 gram emas) atau senilai ¼ dinar. Pendapat inilah yang paling kuat dari segi dalilnya.
“Aisyah r.a. berkata: Adalah Rasulullah s.a.w. memotong tangan pencuri yang mencuri ¼ dinar ke atas.”
(Hadith riwayat Jama’ah Ahli Hadith selain Ibn Majah)
“Umar r.a meriwayatkan: Bahawasanya Rasulullah s.a.w. memotong tangan pada (pencurian) sebuah perisai yang berharga tiga dirham.”
(Hadith riwayat Jama’ah Ahli Hadith)
“Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda: Janganlah kamu potong tangan pencuri, kecuali pada ¼ dinar ke atas.”
(Hadith riwayat Ahmad, Muslim, An-Nasai, dan Ibn Majah)
MINUM ARAK - Ada orang takut dengan hudud ni sebab membayangkan "peminum arak akan disebat 40 kali". Bukan sebat macam kat penjara tu boss... 5 kali sebat dah terkopek2 kulit. Hudud bukan gitu.. Ikut sunnah, nabi pukul/sebat pakai pelepah tamar atau selipar je.. Bukan pakai rotan keras macam kat penjara tu sampai tersiat kulit..
PENGERTIAN KHAMAR (ARAK)
Khamar ialah sesuatu yang memabukkan, yang merosakkan akal sama ada cecair yang dinamakan arak atau pepejal yang dinamakan candu. Semua bahan yang sifatnya memabukkan dan merosakkan akal dinamakan khamar, dari bahan apapun ia dibuat.
MINUM KHAMAR ADALAH DOSA BESAR
Khamar adalah ibu dari segala kejahatan dan kejijikan, meminumnya termasuk salah satu dosa besar, bahkan iman peminumnya diragui.
"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan"
(Al-Baqarah : 219)
UQUBAH (HUKUMAN) KE ATAS PEMABUKAN
Tiada sebarang perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ mengenai hukuman rotan yang wajib dikenakan atas peminum arak, cuma mereka berbeza pendapat mengenai jumlah sebatan itu.
1. As-Syafi’e berpendapat, bahawa sebatan itu adalah 40 kali sebatan.
Pendapat ini didasarkan kepada Hadith, Riwayat Muslim, bahawa ‘Ali r.a merotan Al-Wahid bin Uqbah sebanyak 40 kali rotan kemudian beliau berkata:
Rasulullah s.a.w. telah merotan 40 kali rotan, Abu Bakar merotan 40 kali rotan dan Umar 80 kali rotan, semuanya berdasarkan sunnah, dan saya lebih menyukai ini (40 kali rotan).
2. Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya, Malik, Al-Laith, keluarga Rasul dan satu pendapat lain dari Asy-Syafi’e menetapkan bahawa hukuman ke atas peminum arak ialah 80 rotan.
ALAT UNTUK MEROTAN PEMINUM
Tiada sabit dari Rasulullah s.a.w. bahawa beliau menetapkan alat-alat yang tertentu untuk memukul peminum arak. Kadang-kadang baginda memukul dengan selipar, kadang-kadang dengan pelepah tamar, kadang-kadang dengan rotan dan pelepah tamar, kadang-kadang dengan tangan dan selipar.
"Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali" (Riwayat Muslim)
"Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali"
(Riwayat Bukhari, no 6391; Sahih Muslim, no 1706)
SYARAT-SYARAT PELAKSANAAN
Untuk melaksanakan hukuman (uqubah) atas peminum arak disyaratkan syarat-syarat yang berikut:
Peminum hendaklah berfikiran waras.
Peminumnya hendaklah seorang dewasa. Kanak-kanak tidak dikenakan hukuman had rotan, tetapi ia dikenakan hukuman Ta’zir menurut ketentuan hakim.
Dengan sengaja meminum arak.
Peminum mengetahui bahawa yang diminumnya adalah arak.
SABITNYA KESALAHAN
Kesalahan pemabukan ini disabit melalui salah satu dari dua cara:
Dengan pengakuan oleh peminumnya sendiri.
Dengan persaksian oleh dua orang saksi yang adil.
HUKUM BERUBAT DENGAN KHAMAR
Sepakat para ulama’ bahawa arak haram hukumnya dan termasuk salah satu dosa besar. Tiap-tiap sesuatu yang diharamkan minumnya, maka haramlah ia dimakan, diperniagakan dan dihadiahkan walaupun kepada orang bukan Islam, dan haram pula dijadikan ubat-ubatan.
"Rasulullah saw bersabda, "Apa yang memabukkan dalam jumlah yang banyak, adalah diharamkan walau dalam jumlah yang sedikit."
(Sunan Ibnu Majah, no 3392, jilid 3, bab 30)
HUKUM MENCARI REZEKI DENGAN KHAMAR
Setiap orang mukallaf wajib mencari rezeki untuk menyara hidupnya dan keluarganya. Ia termasuk ibadat. Oleh kerana khamar diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan ia pula termasuk dalam dosa besar yang diancam dengan uqubah dan ‘iqab, maka haramlah mencari rezeki dengan khamar itu. Pengharaman ini meliputi semua pekerja di kilang-kilang khamar, pengangkutan, ladang-ladang kepunyaan kilang atau pengusaha khamar, kedai-kedai khamar, pengusaha import dan eksport khamar dan sebagainya.
Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Bahawa Allah mengharamkan penjualan khamar, bangkai, babi, dan patung-patung berhala.”
(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
RIDDAH
Perbuatan keluar dari agama Islam oleh orang Islam yang mukallaf dinamakan riddah dan orang yang melakukannya dinamakan Murtad.
Riddah berlaku kerana salah satu sebab dari tiga sebab yang berikut:
-Rosaknya keyakinan hati, atau
-Mengucapkan perkataan-perkataan kufur, atau
-Melakukan perbuatan-perbuatan kufur.
Perbuatan Riddah dikira sah apabila seseorang tidak memperakui Allah adalah Tuhannya, Rasulullah adalah utusan-Nya, tidak mempercayai kewujudan Hari Kiamat, tidak mempercayai Qada’ dan Qadar, tidak mempercayai kewujudan Malaikat, dan tidak memperakui kesahihan Al-Quran, di mana ia melibatkan keguguran iman seseorang apabila melanggar Rukun Iman. Penafian atau menentang perintah Allah seperti Solat lima waktu, mengerjakan Haji, menunaikan zakat, dan berpuasa di bulan Ramadhan, mengerjakan cara pemujaan atau sembahyang agama lain juga termasuk dalam perbuatan Riddah.
SYARAT-SYARAT RIDDAH
Riddah baru dikira sah apabila mempunyai syarat-syarat yang berikut:
-Yang melakukan riddah adalah orang Islam. Tidak dikira murtad orang yang beragama Yahudi memasuki agama Nasrani atau dan lain-lainnya.
-Yang melakukan riddah adalah orang dewasa.
-Yang melakukan riddah adalah berfikiran waras. Kanak-kanak atau orang gila yang murtad tidak dikira sah, oleh kerana itu ia tidak dikenakan hukuman had.
-Tetapi kanak-kanak yang murtad wajib dikenakan hukuman ta’zir bagi mencegahnya untuk menjadi murtad lagi.
-Perbuatan Riddah itu dilakukan dengan sengaja, bukan kerana tersalah atau terlupa dan bukan kerana paksaan. Perbuatan riddah yang tidak sengaja atau terpaksa adalah tidak sah dan orang yang melakukannya tidak bersalah. Sebagai contoh kisah ‘Ammar bin Yasir daripada keluarga Yasir yang diseksa oleh golongan Arab Quraisy dikepalai Abu Jahal. ‘Ammar mengaku dengan lidah keluar dari Islam padahal di hatinya tidak.
-Perbuatan riddah itu meyakinkan dan tidak meragukan sama sekali. Mempunyai bukti-bukti yang terang, dengan pengakuan atau dengan persaksian yang adil saksama. Seseorang tidak boleh dituduh secara melulu.
UQUBAH ATAS ORANG MURTAD
Orang murtad adalah halal darahnya, dan wajiblah dikenakan hukuman mati. Dalilnya ialah:
"Barangsiapa sahaja yang menukar agamanya (keluar dari Islam), maka hendaklah dia dibunuh."(Bukhari (2/280), Abu Daud (4351), At-Tirmizi (145), Nasaie (7/104), Ahmad (1/282)
Ibn Mas’ud meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidak halal darah seseorang muslim melainkan kerana salah satu dari tiga perkara: Kafir sesudah beriman (murtad), berzina sesudah ihshan (muhshan* yang berzina) dan membunuh jiwa seseorang.”
(Hadith Muttafaq ‘Alaih, Riwayat Bukhari, Muslim)
*muhshan: orang yang dah menikmati hubungan seks di alam perkahwinan, samada masih berpasangan atau dah bercerai atau kematian pasangan.
Cara membunuh orang murtad ialah dengan memenggal lehernya dengan pedang, berdasarkan hadith berikut:
“Muaz bin Jabal datang menemui Abu Musa Al-Asy’ari di Yaman, tiba-tiba di sisinya terdapat seorang lelaki. Mu’az berkata: Apa ini? Abu musa menjawab: Seorang lelaki Yahudi memeluk Islam kemudian ia kembali menjadi Yahudi, dan kami menghendaki dia kembali ke dalam Islam semenjak dua bulan. Kata Mu’az: Demi Allah, aku tidak akan duduk sebelum kamu penggal lehernya, lalu orang itupun dipenggal lehernya. Berkatalah Mu’az: Allah dan Rasul-Nya memutuskan bahawa barangsiapa yang murtad dari agamanya hendaklah kamu bunuh akan dia.” (Diriwayatkan Ahmad)
TAUBAT ORANG MURTAD
Sebelum melaksanakan hukuman mati, seorang murtad disuruh bertaubat, lalu jika ia bertaubat maka taubatnya diterima dan gugurlah ia dari hukuman mati.
Akan tetapi, jika ia tidak mahu bertaubat, maka ia dikenakan hukuman mati itu. Para ulama’ tidak sependapat dalam hukum Istitabah (menyuruh taubat) terhadap orang murtad:
1) Sebahagian besar para fuqaha berpendapat bahawa hukum menyuruh orang murtad bertaubat sebelum dibunuh adalah wajib. Termasuk dalam golongan yang berpendapat demikian ialah mazhab Maliki, Hambali, Asy-Syafi’e, Ath-Thauri, dan Al-Auza’i.
2) Abu Hanifah dan pendapat lain dari yang di atas berpendapat bahawa istitabah itu hanya sunat.
3) Golongan mazhab Zahairi pula berpendapat, bahawa istitabah itu bukanlah kewajipan dan bukanlah satu larangan.
4) Al-Hasan Al-Bashri, Thawus dan lain-lain lagi berpendapat, bahawa orang murtad itu wajib dibunuh segera dan tidak perlu diberi tempoh untuk bertaubat. Pendapat ini bertentangan dengan dalil-dalil yang sah.
Mengenai tempoh taubat pula para ulama’ berselisih pendapat pula. Ada yang mengatakan tiga hari, sebulan dan ada yang mengatakan lebih daripada itu. Tempoh bertaubat sebenarnya tidak ada dalil yang sah yang membataskan tempoh itu, semuanya bergantung pada ijtihad hakim.
No comments:
Post a Comment