Wednesday, 30 September 2015

Solat Jamak Qasar

2015-01-19-11-30-15-1

Allah Subhanahu wa ta’ala memberi dua kemudahan atau keringanan kepada orang yang bermusafir untuk melaksanakan solat iaitu JAMAK dan QASAR.

  1. SYARAT JAMAK DAN QASAR

Untuk seseorang itu mendapat kelayakan rukhsah(keringanan) solat musafir(jamak dan qasar) mestilah menepati beberapa syarat. Berikut adalah syarat-syarat yang dimaksudkan (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’ie, Jilid 1, Bab Solat Musafir) :

Pertama: Mestilah berada di dalam keadaan bermusafir iaitu perjalanan ke destinasi sekurang-kurangnya dua marhalah.

Solat yang telah masuk waktunya tetapi belum ditunaikan sebelum memulakan perjalanan tidak boleh diqasarkan kerana dia belum dikatakan sebagai musafir ketika solat tersebut wajib ke atasnya.

Sebagai contoh: Ali mahu pergi ke Johor Bahru, ketika dia hendak bertolak(masih di rumah) waktu zohor sudah pun masuk, maka dia wajib menunaikan fardu Zohor bukan menangguhkan solat fardu itu di luar untuk diqasarkan dan dijamakkan dengan Asar. Ini kerana setiap muslim diwajibkan mengerjakan solat fardu apabila masuknya waktu solat.

Kedua: Perjalanannya telah melepasi pagar qaryah(ia boleh diterjemahkan sebagai kawasan kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf setempat).

Anda boleh memilih melepasi kawasan perumahan jika anda tinggal di kawasan taman perumahan atau kampung, ia dikira sebagai kawasan boleh dianggap sebagai kawasan bermukim menurut Imam al-Rafi’ie.

Orang yang masih berada di dalam kawasan pagar qaryahnya atau kawasan bangunan qaryahnya tidak dinamakan musafir. Ini kerana perjalanan tersebut hanya bermula ketika melepasinya dan akan berakhir apabila sampai semula ke kawasan itu. Oleh itu, tidak harus mengqasarkan solat kecuali solat yang wajib atasnya dan melakukannya dalam lingkungan tempoh musafir tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik Radiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

صَلَّيْتُ الظُّهْرَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا وَبِذِي الْحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Aku menunaikan solat Zohor bersama-sama Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam di Madinah 4 rakaat dan solat Asar di Zulhulaifah 2 rakaat(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

*Zulhulaifah terletak di luar kawasan bangunan Madinah.

Hadith di atas menunjukkan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengqasarkan solat setelah berada di luar kawasan permukiman, iaitu Nabi tidak bersolat musafir ketika masih berada di Madinah.

Ketiga: Tidak mengikuti imam solat yang bermukim jika ingin mengqasarkan solat.

Jika mengikuti imam yang bermukim, anda tidak perlu mengqasarkan solat tetapi boleh berniat jamak dengan solat fardu yang lain dan selepas itu boleh disusuli dengan mengqasarkan solat yang seterusnya.

Keempat: Tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar dari destinasi.

Apabila berniat menetap selama empat hari, jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak boleh bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat musafir masih diharuskan semasa dalam perjalanan sahaja.

  1. HUKUM YANG DISALAH FAHAM

Syarat ke-4 merupakan perkara yang paling disalah ertikan oleh ramai orang. Sehingga mereka menyangka jika sudah merancang untuk menetap di sesuatu tempat (contohnya) 2 minggu, maka mereka menyangka masih boleh menjamak dan mengqasarkan solat dalam tempoh tiga hari. Sedang ia adalah sangkaan yang salah dan tidak bertepatan dengan apa yang termaktub di dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafi’ie.

Jika seseorang yang menetap (contohnya) di Shah Alam merancang untuk berada (contohnya) di Kota Bahru selama 7 hari. Maka dia hanya dibenarkan untuk menjamak dan qasar ketika dalam perjalanan sahaja dan setibanya di destinasi dia sudah menjadi orang yang bermukim.

  1. MENGAPA TIDAK BOLEH LAGI JAMAK DAN QASAR?

Ini kerana apabila seseorang itu berazam untuk menetap (contohnya) di Kota Bahru selama 4 hari atau lebih, ini bermakna ia telah berniat bermukim di destinasi itu. Apabila dia sampai ke destinasi tersebut maka dia sudah mendapat status orang yang bermukim bukan lagi musafir. Sedangkan rukhsah(keringanan) solat musafir hanya diizinkan oleh Allah Ta’ala bagi orang yang berstatus musafir, sepertimana Allah berfirman di dalam surah al-Nisa’, ayat 101:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ} النساء: 101

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”

Permasalahan ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam karangannya ‘Mihaj al-Tolibin’, menurut beliau:

ولو نوى إقامة أربعة أيام بموضع انقطع سفره بوصوله، ولا يحسب منها يوما دخوله وخروجه على الصحيح

Maksudnya: “Jika seseorang berniat mukim(iqamah) selama 4 hari di destinasi maka terputus (hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut pendapat yang sahih.

Menurut kenyataan Imam Nawawi di atas, tempoh seseorang itu mendapat status mukim ialah 4 hari, jika seseorang itu berazam atau berniat untuk menetap (contohnya) Kota Bahru selama 3 hari atau kurang dari itu, maka dia masih boleh melakukan solat musafir(jamak & qasar) selama tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi. Ini kerana dia masih dalam keadaan musafir.

  1. APAKAH MAKSUD ‘TIDAK TERMASUK HARI KELUAR DAN MASUK’?

Menurut mazhab Syafi’ie, tempoh untuk menentukan seseorang itu berstatus mukim ialah menetap di sesuatu tempat selama 4 hari atau lebih, tetapi tidak dikira hari perlajanan ke destinasi dan hari pulang.

Sebagai contoh:

Situasi 1:

Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 7 hari iaitu dari hari Isnin hingga Ahad. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru pada hari Ahad. Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 5 hari setelah tolak hari pergi dan pulang. Menurut kiraan tersebut, Ahmad secara otomatik telah berniat bermukim di Kota Bahru iaitu lebih dari 3 hari. Dengan ini, setiba Ahmad di Kota Bahru beliau tidak boleh lagi solat musafir.

Situasi 2

Berlainan pula jika Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 5 hari iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru ke Kuala Lumpur pada hari Jumaat. Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 3 hari setelah tolak hari pergi dan pulang. Ini bermakna Ahmad masih lagi berstatus musafir meskipun sudah tiba di Kota Bahru kerana keberadaannya di sana kurang dari 4 hari.

  1. APAKAH HUJAH ATAU DALIL MAZHAB SYAFI’IE TENTANG TEMPOH MUKIM BERDASARKAN 4 HARI?

Hujah Imam al-Syafi’ie berdalilkan sepotong riwayat yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam Bukhari dan Muslim(dengan lafaz Imam Muslim):

عن الْعَلَاءَ بْنَ الْحَضْرَمِيِّ، يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “لِلْمُهَاجِرِ إِقَامَةُ ثَلَاثٍ بَعْدَ الصَّدَرِ بِمَكَّةَ”، كَأَنَّهُ يَقُولُ لَا يَزِيدُ عَلَيْهَا.

Maksudnya: Saidina al-‘Ala bin al-Hadrami Radiyallahu ‘anhu berkata, ‘aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda’, “Mukim bagi Muhajir selama 3 hari di Mekah selepas kembali dari Mina”, ‘Seolah-olah Baginda menyatakan tidak lebih dari tempoh itu’.

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqallani di dalam Fathul Bari, hadith ini memberi maksud bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang golongan Muhajirin –Radiyallahu ‘anhum- bermukim di Mekah sebelum pembukaan kota tersebut.

Menurut Imam Nawawi pula(juga dalam Fathul Bari), hadith ini menjelaskan bahawa Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengharamkan golongan Muhajirin bermastautin di Mekah.

Menurut Imam Ibn Hajar lagi:

ويستنبط من ذلك أن إقامة ثلاثة أيام لا تخرج صاحبها عن حكم المسافر

Maksudnya: Pengajaran yang boleh diambil dari itu(hadith), sesungguhnya menetap selama tiga hari tidak mengeluarkan seorang itu dari hukum musafir.

Berdasarkan hadith sahih di atas dan penjelasan dari kedua-dua imam menunjukkan bahawa tempoh menetap yang melebihi dari tiga hari(iaitu 4 hari dan ke atas) adalah tempoh yang tidak melayakkan seseorang menjadi seorang musafir.

Hadith dikuatkan lagi dengan tindakan Saidina Umar al-Khattab Radiyallahu ‘anhu yang tidak membenarkan golongan kuffar ahli zimmah menetap di bumi Hijaz dan beliau membenarkan para peniaga dari kalangan ahli Zimmah menetap selama tiga hari sahaja.(Rujuk: al-Talhis al-Habir)

Selain itu sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta’ (Riwayat Muhammad bin al-Hasan) bahawa Saidina Umar membenarkan golongan Yahudi dan Nasrani berada di Madinah selama tiga hari untuk mendapatkan keperluan mereka dan tidak boleh seorang di antara mereka menetap lebih dari tempoh tersebut. (Rujuk: Ifadah al-Raghibin)

Tindakan Saidina umar menunjukkan bahawa beliau tidak mahu golongan kuffar bermukim dan menetap di Tanah Haram, lalu beliau hanya membenar golongan ini dalam keadaan musafir sahaja.

Ini lah dalil yang menjadi asas Imam al-Syafi’ie Radiyallahu ‘anhu dalam menentukan tempoh permukiman.

  1. BAGAIMANA PULA RIWAYAT NABI PERNAH MENGQASARKAN SOLAT LEBIH DARI 3 HARI?

Sememangnya terdapat riwayat sahih yang menunjukkan baginda pernah mengqasarkan solat ketika musafir lebih dari 3 hari. Ini seolah-olah pada zahirnya, mazhab Syafi’ie bertentangan dengan Sunnah. Riwayat yang dimaksudkan ialah:

عن عمران بن حصين رضي الله عنه قال: “غزوت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ، وشهدت معه الفتح، فأقام بمكة ثماني عشر ليلة، لا يصلي إلاّ ركعتين“. رواه أبو داود

Maksudnya: Saidina Imran bin Husain Radiyallahu ‘anhu berkata, “Kami pergi berperang bersama-sama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan aku menyertai Baginda ketika pembukaan kota Mekah, lalu Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dan Baginda tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat(qasar)”. (Hadith riwayat Imam Abu Daud)

Pendirian mazhab Syafi’ie mengenai hadith ini, apabila seseorang berniat tinggal di sesuatu tempat yang TIDAK PASTI TEMPOH MENETAP di sesuatu tempat kerana MELAKUKAN TUGAS YANG BELUM TENTU TAHU BILA SELESAINYA, maka dia boleh mengqasarkan solat sehingga 18 hari tidak termasuk hari pergi dan pulang. Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menetap selama tempoh tersebut pada tahun pembukaan kota Mekah kerana memerangi puak Hawazin dan Baginda mengqasarkan solatnya kerana Baginda tidak pasti berapa lama Baginda terpaksa tinggal di situ. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji atau Ifadah al-Raghibin)

Isu ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam ‘Minhaj al-Tolibin’:

ولو أقام ببلد بنية أن يرحل إذا حصلت حاجة يتوقعها كل وقت قصر ثمانية عشر يوما, وقيل: أربعة، وفي قول: أبدا.

Maksudnya: “Jika seseorang menetap di sebuah negeri dengan niat bahawa dia akan meninggalkan (negeri itu) jika tercapai hajatnya(selesai sesuatu urusan) seperti yang dijangkakan, maka dia boleh qasar setiap waktu selama 18 hari. Ada pendapat lain selama 4 hari, juga terdapat qaul menyatakan selama-lamanya.”

Walaubagaimana pun, pendapat yang muktamad di dalam Mazhab Syafi’ie ialah tidak lebih dari 18 hari iaitu tidak termasuk hari pergi dan pulang. Hukum keringanan ini(jamak & qasar selama 18 hari) hanya untuk sesiapa yang tidak tahu atau tidak pasti berapa lama dia akan berada di sesuatu destinasi kerana urusan belum pasti selesai.

Sebagai contoh: Ali mengidap satu penyakit dan penyakit ini hanya boleh dirawat di Singapura. Tempoh rawatan itu tidak boleh dipastikan oleh pakar perubatan. Lalu Ali pergi bermusafir ke Singapura dalam keadaan tidak pasti berapa lama di akan menetap di Singapura kerana bergantung kepada tempoh rawatan yang tidak pasti. Jadi dalam situasi ini, Ali boleh menjamak dan qasar solatnya selama 18 hari tidak termasuk hari pergi dan pulang.

Wallahu A’lam

Rujukan:

منهاج الطالبين وعمدة المفتين, الإمام محي الدين أبو زكريا يحيى بن شرف النووي

الفقه المنهجي على مذهب الإمام الشافعي, الشيخ الدكتور مصطفى الخن, والشيخ الدكتور مصطفى ديب البغا, والشيخ على الشربجي

إفادة الراغبين بشرح وأدلة منهاج الطالبين, الشيخ الأستاذ الدكتور مصطفى ديب البغا

فتح الباري شرح صحيح البخاري, الإمام الحافظ أحمد بن علي بن حجر العسقلاني

التلخيص الحبير, الإمام الحافظ أحمد بن علي بن حجر العسقلاني

Saturday, 19 September 2015

Orang Yang Mendapat Doa Malaikat

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.
Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”
2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”
3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”
4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”
5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”
6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”
7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.”Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”
8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”
9. Orang yang membelanjakan harta (infak). Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’”
10. Orang yang sedang makan sahur. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”
11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.

Monday, 14 September 2015

MENGAMBIL WUDHU DALAM KEADAAN BERHADAS BESAR


wudhu solat

Orang yang berhadas kecil diwajibkan mengambil wudhu untuk mengangkat hadasnya itu bagi membolehkannya melaksanakan ibadah-ibadah tertentu seperti sembahyang, tawaf sama ada wajib atau sunat, sujud syukur atau tilawah dan seumpamanya. Namun tuntutan tersebut tidak hanya pada ibadah yang menjadikan wudhu sebagai syarat sah perlaksanaannya, malahan juga dituntut pada keadaan-keadaan yang lain walaupun tuntutan itu hanya berupa sunat semata-mata seperti ketika sedang marah, membaca al-Qur’an (bukan dengan memegangnya) atau mendengar al-Qur’an, membaca dan mendengar Hadits, memegang kitab-kitab agama seperti kitab-kitab Tafsir atau Fiqh, membaca atau belajar ilmuilmu syara‘ dan membacakannya, ketika masuk atau duduk di dalam masjid, ketika hendak tidur dan sebagainya.

Di samping itu disunatkan juga untuk sentiasa mengekalkan wudhu kerana amalan mengekalkan wudhu mendatangkan manfaat yang besar kepada orang yang sentiasa mengamalkannya seperti meluaskan rezekinya, disukai oleh malaikat Hafazhah, menjadi benteng (pendinding) dan juga memelihara dirinya daripada melakukan perkara atau perbuatan maksiat.

Mengekalkan wudhu bagi orang yang berhadas kecil bukanlah suatu perkara yang susah. Mereka boleh saja berwudhu semula jika batal wudhunya atau terus memperbaharui wudhu mereka jika masih dalam keadaan berwudhu bila-bila masa saja yang mereka kehendaki.

Melihat kepada tuntutan dan keutamaan wudhu ke atas orang yang berhadas kecil, apakah orang yang berhadas besar juga dituntut dan boleh melaksanakannya? Bagaimanakah kedudukan mereka dalam hal wudhu ini?Apakah Hukum Bagi Orang Yang Berhadas Besar Mengambil Wudhu?Orang yang berhadas besar itu adalah mereka yang berada dalam keadaan berjunub dan perempuan yang dalam keadaan haidh atau nifas. Namun dua keadaaan ini mempunyai kedudukan hukum yang berbeza kerana keadaannya masing-masing.



I. Orang yang berjunub mengambIil wudhu

Disunatkan bagi orang yang berjunub yang belum mandi wajib untuk mengambil wudhu apabila hendak tidur, makan dan minum dan juga ketika hendak mengulang semula persetubuhan.

Diriwayatkan daripada Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha,beliau menceritakan:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak tidur, sedangkan Baginda berada dalam keadaan junub, Baginda membasuh kemaluan Baginda (terlebih dahulu) dan mengambil wudhu (sepertimana wudhu) untuk sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat lain pula, Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila dalam keadaan junub lalu Baginda hendak makan atau tidur, Baginda mengambil wudhu sepertimana wudhu Baginda untuk sembahyang.” (Hadits riwayat Muslim)

Kedua hadits di atas adalah dalil mengenai sunat bagi orang yang berjunub untuk mengambil wudhu sebelum tidur atau sebelum makan dan minum. Manakala dalil mengenai dengan sunat berwudhu sebelum mengulangi semula persetubuhan bagi orang yang berjunub itu adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu mendatangi (menyetubuhi) isterinya, kemudian ingin mengulangi lagi, maka (sebaiknya) hendaklah dia mengambil wudhu.” (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menerangkan bahawa hadits-hadits tersebut di atas memberi maksud bahawa orang yang berhadas besar (berjunub) jika dia hendak tidur, makan, minum atau bersetubuh lagi dengan isteri yang telah disetubuhinya atau isterinya yang lain, adalah disunatkan terlebih dahulu mengambil wudhu serta membasuh (membersihkan) kemaluannya (sebelum berwudhu). Beliau juga menyebut bahawa para ulama asy-Syafi‘iyyah berpendapat adalah makruh hukumnya ke atas orang yang berhadas besar (berjunub) untuk tidur, makan, minum dan bersetubuh sebelum berwudhu.

Hikmah Sunat Berwudhu Ke Atas Orang Yang Junub

Terdapat beberapa pendapat ulama mengenai hikmah disunatkan berwudhu ke atas orang yang berjunub jika dia hendak tidur, makan, minum dan bersetubuh. Antaranya:

Pendapat pertama: Untuk meringankan hadas kerana wudhu berperanan untuk mengangkat hadas daripada anggota-anggota wudhu. Demikian juga, ia bermaksud bagi tujuan kebersihan.

Pendapat kedua: Dengan wudhu merangsang seseorang untuk mandi apabila air terkena pada anggota-anggota wudhu.

Pendapat ketiga: Bertujuan agar seseorang itu tidur dalam keadaan suci dari salah satu dua hadas (hadas kecil dan besar) kerana ditakuti dia menemui ajalnya di dalam tidur.

II. Hukum perempuan yang dalam haidh dan nifas mengambil wudhu

Hukum berwudhu bagi perempuan yang dalam haidh atau nifas itu terbahagi kepada dua:

  • Jika darah haidh atau darah nifasnya masih keluar (belum kering), tidak disunatkan baginya untuk berwudhu. Ini adalah kerana wudhu tidak memberi apa-apa kesan pada mengangkat hadas perempuan haidh atau nifas yang masih keluar darahnya. Maka tidak sah bersuci daripada hadas ketika darah haidh atau nifas masih keluar.
  • Jika darah haidh atau nifasnya sudah berhenti (kering) tetapi dia belum mandi wajib, maka disunatkan ke atasnya untuk mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan atau minum.

Ini kerana apabila darah haidh atau nifas perempuan tersebut sudah berhenti, maka hukumnya adalah seperti orang yang berjunub; iaitu sunat ke atasnya mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan atau minum kerana ia memberi kesan pada hadasnya (terangkat hadas kecil).

Berdasarkan penerangan di atas, tiada halangan bagi orang yang berjunub dan juga perempuan yang kering haidhnya tetapi belum mandi wajib untuk mengambil wudhu pada waktu-waktu tertentu sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa hadits. Sekurangkurangnya dengan melakukan wudhu dapat meringankan hadas yang ditanggung oleh keduanya sebelum mandi untuk mengangkat hadas.