Iman dan Fitrah
Konsep Iman dan fitrah.
Iman
ialah percaya dan yakin kepada Allah dengan pengakuan dihati, berikrar dengan lidah, dan melaksanakan dengan anggota terhadap segala perintah dan ajaran Allah S.W.T.
Fitrah
ialah perasaan naluri atau tabi’at semulajadi yang dikurniakan oleh Allah S.W.T seperti keinginan untuk makan, minum, berkeluarga, beragama, dan sebagainya.
Secara fitrahnya, manusia perlu kepada agama. Keadaan manusia yang bersifat lemah semangat perlu kepada bimbingan dan panduan daripada agama. Tanpa agama, manusia akan sesat, bahkan lebih sesat daripada binatang. Firman Allah:
179. ..mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai.
(Surah Al-A’raf:179)
Manusia perlu beriman kepada Allah. Kejadian manusia secara fitrahnya beriman kepada Allah. Firman Allah:
172. Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
(Surah Al-A’raf:172)
Ayat diatas menerangkan bahawa sejak di ‘alam ruh lagi manusia mengakui kewujudan Allah, sekalipun pada lahirnya mereka ingkar dan tidak beriman, tetapi pada fitrahnya mereka tetap mengetahui kewujudan Allah.
Islam agama fitrah
Secara fitrah, manusia perlu kepada agama. Beragama merupakan naluri terpenting yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia sejak zaman berzaman. Naluri inilah yang menyebabkan manusia percaya kepada sesuatu kuasa mutlak yang dapat membantu mereka sama ada ketika susah atau senang.
Sebagai buktinya, manusia zaman primitif memohon pertolongn daripada sesuatu seperti pokok, laut, gunung matahari dan sebagainya. Ini adalah kerana mereka percaya kepada benda-benda tersebut berkuasa memberikan pertolongan.
Islam adalah agama fitrah yang sesuai dengan fitrah manusia. Kesesuaian Islam dengan fitrah manusia adalah kerana ajaran-ajaran yang terkandung dalam Islam memenuhi keperluan manusia secara rohani dan jasmani.
Islam tidak hanya sesuai untuk sesuatu bangsa, tempat, masa dan keadaan sahaja, bahkan Islam sesuai untuk semua kaum, tempat, masa dan keadaan.
Antara akal dan nafsu manusia
Manusia dibekalkan dengan akal dan nafsu. Dengan akal manusia boleh berfikir untuk berusaha mendapatkan keperluan hidup seperti makanan dan minuman. Akal juga dapat digunakan untuk membuat keputusan tentang sesuatu perkara.
Selain itu manusia dibekalkan dengan nafsu yang sering mendorong manusia ke arah yang salah. Oleh itu, segala keinginan nafsu hendaklah dipertimbangkan dengan akal.
Iman Semut VS Iman Manusia
Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.
Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".
Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"
Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan". Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong". Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.
Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanyadimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".
Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada diatas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".
Itulah Iman Semut!!
IMAN MANUSIA??
Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.
Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur.
Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?". Jawab Imam Suffian:" Di akhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan".
Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya,iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.
Kata Saidina Ali kepada Kamil: " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA, ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN" .
Wallahulam.
No comments:
Post a Comment