Friday 18 January 2013

Syarat Menuntut Ilmu

Assalamualaikum,

Imam as-Shafi’e adalah merupakan tokoh ilmu terunggul di dalam sejarah umat Islam. Beliau telah mengarang satu syair ringkas tetapi padat, menceritakan mengenai syarat-syarat menuntut ilmu;
أخي لن تنال العلم إلا بستةٍ
سأنييك عن تفاصيلها ببيـان
ذكاء وحرص واجتهاد وبلغه
وصحبة استاذٍ وطول زمان

Perincian dari syair beliau ialah; Pertama bijak, kedua tamak menuntut ilmu, ketiga kesungguhan, keempat kemampuan sara diri, kelima bersahabat dengan guru, dan terakhir, masa yang panjang dan berterusan.

Kebijaksanaan adalah prasyarat utama untuk menjadi seorang penuntut ilmu yang baik. Faktor yang menyumbang kepada kecerdasan ini sebenarnya adalah menyeluruh. Ini termasuklah faktor pendidikan awal di rumah, persekitaran, pemilihan kawan, pemilihan pasangan, pemakanan dan lain-lain. Adab-adab yang diajar di dalam Islam, walaupun kelihatan remeh, sebenarnya berperanan besar di dalam menambah kecergasan akal manusia. Walaupun ada yang berpendapat, kecerdasan akal adalah anugerah pilihan kepada insan tertentu, akan tetapi hakikatnya, kecerdasan dapat dibentuk oleh diri kita sendiri. Daripada sekecil-kecil perkara, seperti khasiat susu bayi untuk merangsang IQ anak-anak, sehinggalah kepada menjaga pandangan daripada melihat perkara maksiat, itu semua mempengaruhi kecerdasan akal kita. Imam al-Shafie sendiri pernah mengadu kepada gurunya, imam Waki’, kerana suatu ketika, kecerdasan akal beliau merudum jatuh, lalu ditegur beliau oleh gurunya supaya meninggalkan maksiat, kerana ilmu itu cahaya, dan cahaya tidak akan tembus ke dalam hati yang berkarat dengan maksiat.

Syarat kedua pula adalah semangat tinggi, rakus serta tamak untuk menuntut ilmu. Sifat ini dapat dilihat di dalam diri sarjana Islam terdahulu. Sebagai contohnya Imam al-Bukhari. Kitab beliau yang terkenal, Sahih al-Bukhari, merupakan rujukan unggul bagi umat Islam selepas al-Quran. Bagaimana kitab tersebut menjadi karya unggul, atau magnum opus kepada kesarjanaan sains hadith, adalah tidak lain tidak bukan kerana semangat tinggi beliau di dalam menuntut ilmu pengetahuan. Ramai kita yang mengetahui kesanggupan imam al-Bukhari merantau ribuan batu, semata-mata untuk mendengar hanya sepotong hadith nabi yang autentik. Beberapa kali beliau merantau, tetapi pulang dengan tangan kosong kerana sedikit keraguan di dalam status hadith berkenaan. Akan tetapi, beliau tidak pernah berputus asa, sebaliknya terus rakus dan tamak di dalam mengumpulkan ilmu yang berguna.

Syarat ketiga pula ialah ijtihad, atau kesungguhan. Untuk menjadi seorang penuntut ilmu yang berjaya, kesungguhan adalah amat penting. Walau sehebat mana peribadi kita, walau sejernih mana hati kita, walau sepanjang mana pun sujud kita, walau setinggi mana tangan menadah memohon hajat, akan tetapi sekiranya tiada kesungguhan di dalam menuntut ilmu, percayalah, ianya tidak akan datang bergolek kepada diri kita. Ramai juga yang tertanya-tanya apakah kunci utama untuk mendapat kesungguhan ketika belajar. Muslimin sekalian, yakinilah, bahawa kunci utama untuk mendapat kesungguhan adalah kesabaran. Sabar dengan kesukaran menuntut ilmu. Sabar dengan uijan dan halangan. Sabar dengan masa yang panjang. Sabar dengan kejemuan. Itulah kunci utama kepada kesungguhan. Sabda nabi Muhammad, al-Sobru diya’. Yang bermaksud, kesabaran itu adalah cahaya. Dan memang ilmu pengetahuan itu sering kali dikaitkan dengan cahaya. Tanpa sabar, maka tiadalah kesungguhan, lantas sirna lah pengetahuan.

Syarat keempat pula ialah kemampuan kewangan. Syarat ini amat penting bagi memastikan kita mampu untuk menyara diri ketika proses mendapatkan ilmu pengetahuan. Ahli ilmu yang baik, ialah mereka yang sentiasa mencari peluang biaya, atau tajaan, bahkan pinjaman, yang membolehkan dirinya berada di dalam persekitaran ilmu pengetahuan. Syarat ini adalah terbukti kepentingannya. Lihatlah sahaja generasi awal di negara kita, berapa ramai yang tercicir di dalam arus perdana pendidikan kerana factor kewangan yang menghambat. Walau pun ditawarkan pengajian di kolej atau pusat pendidikan terunggul, akan tetapi sekiranya tiada wang, maka tidak akan ke mana kita akhirnya. Dengan sebab itu, amat penting bagi generasi sekarang, supaya tidak terlalu berkira di dalam membiayai pendidikan khususnya untuk anak-anak atau saudara terdekat. Anggaplah ianya sebagai satu pelaburan penting di dalam kehidupan, di mana pulangannya kekal sampai ke akhirat.

Syarat kelima pula ialah suhbati ustazi, atau rapat, baik dengan tenaga pengajar. Tuan-tuan sekalian, mungkin ramai di kalangan kita yang merasakan, kunci utama untuk menjadi pelajar cemerlang, ialah semata-mata kepada usaha dan juga kecerdikan peribadi. Malangnya, ramai yang melupakan elemen berkat di dalam menuntut ilmu. Berkat, berasal daripada perkataan birkah, yang bermaksud bekas air. Walaupun bekas yang mengandungi air itu mungkin kecil, seperti oasis di padang pasir, atau tasik di perjalanan, akan tetapi ianya memberi manfaat yang banyak kepada orang lain, serta sumbernya sentiasa berterusan. Berkat boleh difahami dengan fahaman yang mudah, iaitu buat sikit, dapat banyak. Di dalam menuntut ilmu, syarat utama mendapat keberkatan ilmu, ialah mempunyai hubungan yang baik dengan guru kita. Ulamak terdahulu amat menitikberatkan perkara ini, sehingga ada yang sanggup menjadi pemberi khidmat, atau khaddam kepada tok guru mereka. Akan tetapi amalan ini semakin longgar di zaman moden. Bahkan sekarang, kita perhatikan bagaimana anak murid sanggup mencaci memukul dan mengutuk guru-guru mereka. Apatah lagi dengan bercambahnya saluran komunikasi seperti blog dan laman rangkaian social, golongan pengajar mudah untuk diperlekeh oleh anak murid sendiri. Insafilah, dan contohilah sikap Saidina Ali yang sanggup menjadi khadam kepada gurunya walaupun non-Muslim, dengan berkata man allamani harfa, surtu lahu abdan. Sesiapa yang mengajarku sepotong huruf, maka aku akan menjadi hambanya.

Syarat terakhir pula ialah tul al-zaman, iaitu panjang masa. Ketahuilah, bahawa tidak ada kejayaan yang boleh dikecapi dengan masa yang ringkas. Tidak ada ilmu yang boleh dipelajari di dalam masa yang padat. Proses pengajian sepanjang hayat adalah merupakan falsafah utama di dalam sunnah nabi Muhammad, sehingga baginda sendiri meminta kita menuntut ilmu dari buaian hinggalah ke liang lahad.

1 comment:

  1. Bismillah .... ikut share ya..... 'afwan wa syukron katsir

    ReplyDelete